
Wanita menjadi subur sebaik sahaja mencapai akil baligh, iaitu apabila haid pertamanya keluar. Secara purata, kanak-kanak perempuan di Malaysia mencapai akil baligh dalam lingkungan 12 tahun.
Tempoh kesuburan berlangsung sehingga usia wanita dalam lingkungan 48 tahun iaitu apabila berlaku putus haid. Dalam jangka masa 36 tahun waktu suburnya itu, wanita akan mengalami beberapa kali kehamilan dan kelahiran sekiranya dia berumahtangga.
Setiap wanita yang ingin hamil mestilah subur iaitu dia berkeupayaan mengeluarkan telur atau benihnya. Benih perempuan hanya keluar sekali dalam satu pusingan haid dan pada waktu yang tertentu sahaja.
Oleh sebab itulah, apabila wanita yang setelah sekian lama mendirikan rumahtangga tetapi masih belum mempunyai anak, harus diperiksa kesuburannya dengan melakukan beberapa ujian dan pemeriksaan tertentu. Ujian dan pemeriksaan ini adalah unutk menentukan pengeluaran benihnya sama ada normal ataupun tidak.
Terdapat beberapa cara bagi menentukan seseorang wanita itu mengeluarkan benih atau tidak dan bilakah benih itu keluar. Waktu pengeluaran benih ini digelar waktu subur atau fertile period. Persetubuhan perlu dilakukan pada waktu ini untuk menjayakan kehamilan, atau jauhkan waktu ini untuk mengelakkan kehamilan. Ada beberapa cara untuk menentukan kesuburan wanita:

Pusingan Haid
Wanita yang mempunyai pusingan haid teratur setiap bulan biasanya subur. Pengeluaran benih ini berlaku pada hari ke-13 atau 14 dikira dari hari pertama keluar darah haid.
Satu pusingan haid dikira dari hari pertama keluar haid hinggalah sehari sebelum haid datang semula. Satu pusingan ini biasanya meliputi jangka masa 28 hari hingga 30 hari.
Adalah penting bagi setiap wanita yang inginkan anak mencatat tarikh bagi keluaran haid dalam satu buku kecil yang mengandungi carta suhu badan. Buku ini boleh didapati di klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluara Negara (LPPKN).
Ada beberapa tanda yang berlaku pada waktu pengeluaran benih seperti rasa sakit atau senak di bahagian bawah perut dan pengeluaran lendir yang berlebihan dari kemaluan. Kadangkala lendir ini berwarna coklat, jernih dan mudah dijalurkan atau stretchable dan rupanya seperti putih telur mentah. Sebaik sahaja lendir keluar, lendir bertukar bentuk menjadi lebih kesat dan pekat.

Catatan Suhu Badan
Setiap wanita yang ingin meningkatkan kesuburan perlu mencatatkan suhu badannya dalam satu carta khas yang boleh didapati di klinik LPPKN. Suhu badan perlu disukat dengan mengggunakan jangka suhu khas yang digelar ovulation thermometer. Alat clinical thermometer yang biasa digunakan untuk menyukat suhu badan tidak sesuai untuk tujuan ini.
Suhu badan perlu disukat sebaik sahaja bangun tidur tetapi sebelum meninggalkan tempat tidurnya untuk memberus gigi dan mandi.
Jangka suhu perlu disediakan pada malam sebelumnya, iaitu dengan menggoncangkan supaya tanda raksa turun ke paras paling rendah. Apabila hendak mengambil suhu badan, jangka suhu dimasukkan ke dalam mulut selama dua atau tiga minit. Sukatan suhu badan kemudian dicatatkan pada carta khas dan ini patut dibuat tiap-tiap hari melainkan pada hari wanita itu dalam haid. Satu muka carta baru digunakan bagi pusingan haid yang berikutnya.
Carta suhu badan ini memberi maklumat penting kepada doktor dan jururawat. Ia akan menunjukkan sama ada wanita itu mengeluarkan benih atau tidak dan bila benih itu keluar. Biasanya suhu badan akan turun sedikit pada hari pengeluaran benih dan sejurus kemudian ia meningkat naik sebanyak 0.2 darjah celcius dan kenaikan suhu badan ini akan berlarutan sekurang-kurangnya 10 hari atau lebih. Jika bentuk ini tidak kelihatan pada carta, mungkin ini menandakan wanita tersebut tidak mengeluarkan benih dan seterusnya dia tidak boleh hamil.
Ujian Darah
Ujian darah untuk mengesan paras hormon boleh juga digunakan untuk menentukan wanita itu keluar benih atau tidak. Sukatan paras hormon progesterone dilakukan pada hari ke-21 hingga 25 dalam pusingan haid. Wanita yang pusingan haid mereka tidak teratur seperti datang haid sekali dalam tiga bulan ataupun sekali dalam enam bulan, biasanya tidak subur kerana benihtidak keluar dengan teratur. Dalam hal demikian beberapa ujian perlu dilakukan untuk mengesan punca masalah tersebut. Antara ujian yang penting ialah meyukat paras hormon dalam aliran darahnya seperti hormon gonadotrofin (FSH, LH) dan prolaktin.
Ujian D & C
Ujian D & C selalu dikatakan oleh doktor pada wanita yang kurang subur. Dalam tatacara pembedahan yang kecil ini, saluran pangkal rahim wanita itu dikembangkan. Proses ini digelar dilatation. Ruang rahim kemudian dikikis dengan alat tajam yang digelar curettage. Tatacara ini memberi manfaat kepada sesetengah wanita yang pangkal rahim mereka sempit dan ini mungkin memudahkan perjalanan benih lelaki ke dalam sistem peranakan.
Melalui proses mengikis ruang rahim ini juga tisu yang tidak normal dapat dikeluarkan untuk membolehkan kehamilan berlaku. D & C juga boleh dilakukan untuk mengetahui sama ada seseorang wanita itu boleh mengeluarkan benih atau tidak. Ini hanyalah satu bukti secara tidak langsung bagi menentukan pengeluaran benih wanita.
Sesetengah doktor melakukan insufflation iaitu memancutkan air berwarna ke dalam saluran peranakan keteika melakukan D & C itu. Tatacara ini bertujuan untuk menguji sama ada salur fallopian terbuka atau tersumbat dengan melihat pengaliran air yang dipancutkan itu. Ujian ini jarang dilakukan pada masa sekarang kerana seringkali ia tidak memberi kepastian mengenai keadaan saluran peranakan tersebut.
Pemeriksaan Fizikal
Bahagian tubuh badan wanita yang patut diperiksa termasuklan buah dada, kilang tiroid pada leher dan sistem peranakan.
Pemeriksaan leher adalah bertujuan untuk mengesan ketumbuhan pada kilang tiroid yang biasanya boleh mengeluarkan hormon tiroksina berlebihan dan seterusnya mengganggu pengeluaran benih.
Pemeriksaan buah dada pula bertujuan untuk mengesan ketumbuhan dan pengeluaran air susu kerana jika keadaan ini berlaku ada kemungkinan imbangan hormon dalam darah wanita itu terganggu. Mungkin paras hormon prolaktin tinggi dan ini mengganggu pengeluaran benih perempuan.
Pemeriksaan Sistem Peranakan
Pemeriksaan ini adalah sangat penting untuk menentukan sama ada system peranakan seseorang wanita itu normal atau tidak. Sistem ini melibatkan faraj, pangkal rahim, saluran peranakan dan kilang ovari. Berbagai-bagai cara digunakan untuk memeriksa dan menilai system peranakan ini. Biasanya setelah doktor memeriksa kemaluan dan peranakan seseorang wanita itu, dia dapat menentukan secara kasar sama ada sistem peranakannya normal ataupun tidak.
Jangkitan Faraj
Penyakit jangkitan kuman pada faraj atau vaginitis dan pada pangkal rahim atau cervicitis yang biasanya ditandai dengan lelehan keputihan boleh mengganggu benih lelaki. Pangkal rahim menjadi luka dan merah yang dikenali sebagai cervical erosion atau ditandai oleh ketumbuhan seperti polip. Ketumbuhan yang bukan jenis kanser iatu fibroid juga boleh berlaku pada rahim. Ada juga wanita yang mempunyai sistem peranakan yang tidak normal sejak dilahirkan iaitu congenital abnormality. Semua gejala yang disebutkan itu boleh menyebabkan masalah kesuburan.











No comments:
Post a Comment